nyasben

 




i.
dunia telah berlalu 
menembus diriku,
tiada yang dapat kurubah.
usia mengajar hanya satu ibarat:
tiada yang menang,
yang ada semuanya penerima nasib;
jadi kukumpul benang hari
dan hidup di antara masalah.

 

ii.
aku juga tidak pernah menang
tiada mungkin menang seluruhnya,
seusia telah kupanjat bukit batu
membilang puncak dan menyapu kabut muka,
kugali lubuk untuk ikan
dan kolam untuk anakku

 

kubangunkan rumah di tangga gunung
sering aku tak mencapai pintu.
atau apakah ada puncak yang lebih tinggi
dari mimpi bukit?
rumah runtuh bersama salji
dan salji menutup hari.

 

tapi kurubah diri
supaya mimpi masih dapat kudaki.
walau kakiku lusuh oleh tahun,
dan jiwa pun jenuh,
kusyukuri juga
kerana aku masih bermimpi,
kerana mimpi menabung malam 
untuk cerah siang.

Comments

Popular Posts